Khamis, 13 Februari 2014

Perasap Keris

Keris merupakan sejenis senjata Melayu lama yang dikaitkan dengan unsur animisme dan Hindu-Buddha yang pernah menjadi anutan masyarakat rumpun Melayu sebelum kedatangan Islam. Dahulunya pembuatan Keris bermotif Hindu jelas dapat dilihat dari hulunya yang bercorakkan ukiran dewa-dewi dan haiwan namun ditukar kepada corak abstrak dan tumbuh-tumbuhan setelah kedatangan Islam.

Antara kekeliruan dalam masyarakat ialah amalan mencuci atau memandikan Keris yang sering disalahertikan sebagai amalan memuja Keris. Hal ini mungkin terjadi kerana kekeliruan dan kekurangan informasi mengenai rasional disebalik bahan yang digunakan dalam ritual ini.

Pertamanya, melimaukan Keris. Tujuannya bagi menghakis permukaan logam keris dan membuang karat yang ada pada bilah keris. Bagi keris yang diselaputi karat yang agak teruk, ia akan dicacakkan pada buah nenas muda dan dibiarkan semalaman atau lebih bagi menghilangkan dan mengakis karat pada keris. Selain limau nipis atau limau purut, buah mengkudu juga terkadang digunakan untuk membersihkan keris.

Setelah dilimaukan, keris kebiasaannya akan direndam seketika di dalam air kelapa muda. Ini bagi meneutralkan kembali asid yang masih melekat pada bilah keris sebelum keris dibilas semula.

Setelah itu keris akan diperasap. Proses ini yang sering disalahertikan sebagai suatu bentuk pemujaan terhadap keris. Tidak dinafikan sesetengah penyimpan keris memperasapkan keris dengan tujuan untuk memberi makan kepada 'khadam' si penjaga keris, namun tujuan asal memperasapkan keris adalah bagi bilah keris benar-benar kering agar tidak berkarat. Kemenyan, Gaharu atau Cendana digunakan bertujuan bagi mewangikan bilah keris.

Setelah diperasap, keris akan disapukan dengan minyak dan disimpan. Kebiasaannya keris dicuci pada Awal Muharram sebagai satu simbolik kepada permulaan tahun yang baru.

Semoga kali yang akan datang kita tidak terburu-buru menghukum perkara yang belum jelas pada pengetahuan kita, terutamanya dalam adat istiadat Melayu yang sebenarnya tersulam padanya nilai dan falsafah Islam yang cuma ketara pada mereka yang mengetahuinya.






Keris digunakan sebagai senjata terakhir dalam pertempuran jarak dekat. Keris sifatnya untuk bertikam, bukan untuk bertetak. Adapun bertetak kebiasaannya akan menggunakan senjata lain yang dipanggil 'Sundang'.

Kebiasaannya Sundang berbentuk seakan-akan Keris panjang tetapi mata bilahnya lebih lebar dan hulunya lebih panjang.


 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan