(Petikan sebahagian laporan oleh wartawan Desi Ernita Dahnin yang telah disiarkan di dalam Mastika edisi November 2011)
Hamba
ini berbangsa Melayu. Bangsa yang satu ketika dulu adalah bangsa yang
jauh peradabannya ke hadapan, meninggalkan bangsa-bangsa lain di seluruh
dunia. Bangsa Melayu kaya dengan kepakaran dan teknologi.Tunggu! Jangan
mencebik, jangan mencemuh! Tuan hamba sekalian mungkin tidak tahu.
Benar, generasi kita hari ini tidak tahu akan fakta kehebatan bangsa
Melayu zaman dahulu. Dek kerana segala fakta itu telah dimusnahkan oleh
sang penjajah keparat. Penjajah tidak mahu bangsa Melayu menjadi bangsa
berkuasa di dunia. Mereka tidak mahu generasi Melayu akan datang tahu
kehebatan nenek moyang mereka dahulu kala. Inilah muslihat penjajah
keparat!
Meriam Terbesar Melayu Dilarikan ke India
Bangsa kita dimomokkan bahawa Melayu dahulu kala hanya berperang dengan
keris dan lembing sahaja. Tidak! Tahukah tuan hamba sekalian, bangsa
kita telah mencipta meriam, sudah lama sebelum kedatangan para penjajah
lagi.Ya, ketika itu, terdapat sebuah meriam terbesar di dunia yang
dicipta oleh Bangsa Melayu. Meriam tersebut diletakkan di dalam mahligai
istana Sultan Melaka. Dan apabila Melaka ditakluk, meriam itu telah
dirampas oleh penjajah lalu di bawa berlayar ke Goa, India. Untuk
pengetahuan tuan hamba, meriam itu masih ada sehingga kini di Goa.
Namun, untuk membawa artifak bukti keagungan tamadun Melayu itu bukan
mudah. Bahkan kosnya mencecah berbilion ringgit. Lihat betapa licik dan
jahatnya sang penjajah!
Melayu Pelayar Terulung
Bangsa Melayu sudah boleh
menghasilkan jam yang digunakan oleh Panglima Awang dalam pelayarannya
sewaktu mengelilingi dunia. Dua abad lebih awal sebelum bangsa Eropah
mampu mencipta jam. Bangsa Melayu juga boleh belayar di lautan tanpa
menggunakan kuasa enjin dan layar, malah tidak pernah sesat dari arah
tujuannya. Dan kepakaran belayar ini telah wujud lebih lama sebelum
Bangsa Eropah mampu menggerakkan bangsa mereka untuk belayar
mengelilingi dunia. Tahukah juga tuan hamba, Panglima Awang yang
berbangsa Melayu itu sebenarnya adalah orang pertama mengelilingi dunia
dan hasil pelayarannya itu, dialah yang mengesahkan bahawa bumi ini
bulat, bukannya mendatar seperti didakwa bangsa Eropah sebelum itu.
Panglima Awang tidak pernah tersesat dalam pelayarannya, sedangkan
Captain Columbus berbulan-bulan tersasar dalam pencariannya mencari
tanah datar Amerika. Begitulah hebatnya bangsa kita!
Teknologi Mistik Melayu
Sewaktu zaman kegemilangan empayar Melayu Melaka, bangsa Melayu sedang
dalam eksperimen untuk membina tentera bukan dari kalangan manusia,
tetapi daripada haiwan yang boleh diseru, disuruh dan dipandu arah.
Takjub bukan? Tetapi sayang, belum sempat teknologi tentera haiwan itu
dikembangkan, ia telah ‘dilarikan’ oleh penjajah setelah mereka berjaya
menakluk Tanah Melayu. Lalu teknik itu mereka kaji dan mereka guna pakai
untuk kepentingan bangsa mereka. Melalui teknologi seru itulah pihak
Portugal melepaskan seekor ketam untuk membawa naik salib yang
dicampakkan ke laut oleh seorang Paderi sebelum memijak bumi Melaka.
Hamba bukan sengaja mereka-reka cerita ini, malah cengkerang ketam itu
masih berada di Lisbon, Portugal sebagai bukti!
Khazanah Melayu Dihapuskan
Dek kerana hebatnya ilmu pengetahuan bangsa Melayu inilah, penjajah
sentiasa mahu menawan tanah bertuah ini. Beribu-ribu dokumen, buku,
persuratan dan khazanah bangsa kita telah dirampas oleh mereka. Salah
satu darinya seperti usaha Raffles yang membawa ribuan catatan dan buku
Melayu di dalam kapal The Fame yang akhirnya terbakar di tengah
lautan. Kita dijajah bukannya kerana rempah ratus seperti yang tercatat
dalam sejarah yang digubah sesuka hati oleh sang penjajah. Kita dijajah
kerana kehebatan tamadun bangsa Melayu. Inilah sejarah yang tidak
diketahui oleh anak Melayu sendiri. Hamba bangga menjadi anak Melayu.
Bukan hanya kerana pengetahuan dan fakta yang hamba ada dan selidiki.
Kata-kata hamba bukan omongan kosong. Jika tidak, hamba tidak akan
bersusah payah mengumpul pelbagai artifak keagungan bangsa kita satu
ketika dulu!
Pakaian Melambangkan Bangsa
Kata mereka,
pakaian hamba sudah ketinggalan zaman, tidak relevan. Jika begitu, tidak
relevanlah bangsa Arab yang berjubah dan berserban? Tidak relevankah
bangsa Ghana dengan baju tradisi ala selimutnya? Tidak relevankah bangsa
India dengan sarinya? Apa yang hamba pakai ini adalah salah satu
simbolik bangsa Melayu. Jika kita berjumpa di Melaka 500 tahun yang
lampau, inilah pakaiannya. Namun, hamba sesuaikan dengan zaman sekarang.
Hamba tempah khas baju ini agar diperbuat daripada kain kapas yang
lebih selesa dipakai. Yang penting, identiti pakaian ini yang harus
dikekalkan kerana inilah identiti bangsa kita.
Hamba Lebih Afdal Dari
Sahaya
Ada yang bertanya, mengapa gunakan perkataan ‘hamba’ dan ‘tuan
hamba’ dalam perbualan harian? Mengapa berasa pelik sedangkan itulah
pertuturan bangsa kita sejak dulu kala. Malah, ada yang berkata, teruk
benar gunakan perkataan hamba kerana ia hanya sesuai antara manusia
dengan tuhan. Tetapi mereka lupa, bila kita menyebut diri kita sebagai
hamba, secara tidak langsung ia sentiasa mengingatkan bahawa kita ini
adalah hamba Allah. Itukan lebih baik? Mereka lupa penggunaan perkataan
‘saya’ itu bermula dari ‘sahaya’ yang bermaksud hamba sahaya yang tidak
boleh ditebus, secara tidak langsung menjatuhkan diri kita
serendah-rendahnya. Bermakna secara tidak langsung kita berdoa menjadi
seperti itu. Akhirnya, seperti yang tuan hamba lihat hari ini, bangsa
kita menjadi bangsa yang hina sekarang. Bahasa tu menunjukkan bangsa.
Pada firasat hamba, perkataan hamba lebih afdal dari saya (sahaya).
Hargailah Khazanah Melayu
Apa yang hamba sampaikan mungkin susah diterima akal, tetapi buktinya
ada. Jika tidak percaya, datanglah bertemu hamba. Teratak hamba di
Rembau ada menyimpan lebih 200 artifak dan khazanah bangsa kita. Bukan
mudah untuk hamba kumpulkan segala artifak bangsa Melayu ini. Ia
memerlukan kos jutaan ringgit dan tenaga pakar saintifik dan spiritual.
Kebanyakan artifak ini gagal dikesan oleh pencari gali dari Barat
walaupun menggunakan teknologi moden. Ini kerana harta-harta ini telah
disimpan di alam mistik oleh orang-orang terdahulu. Contohnya, 50 tahun
lalu, pihak Inggeris ada menghantar ahli arkelogi mereka bagi mengesan
Keris Penyalang, iaitu sebilah keris yang digunakan pada zaman
Kesultanan Melayu Melaka bagi menghukum pembesar istana yang bersalah.
Pembesar itu akan ‘disalang’ menggunakan keris tersebut. Caranya,
pesalah akan melutut lalu keris penyalang akan ditusukkan dari engkuk
menembusi paru-paru, jantung hinga ke perut. Hebatnya keris penyalang,
hanya setitis darah akan keluar melalui satu lubang di hulu keris,
menandakan si pesalah sudah mati. Keris inilah yang cuba dicari ahli
cari gali Inggeris itu tetapi setelah berbulan-bulan mencuba, mereka
pulang dengan hampa. Mengapa? Ini kerana keris itu disimpan pewarisnya di
alam mistik dan semoden manapun orang Barat, mereka tidak dapat
menandingi kemahiran bangsa Melayu ‘menyelam’ ke dunia mistik. Dan kini,
Keris Penyalang itu sudah ada dalam simpanan hamba!
Akhir kata
Banyak artifak lain yang amat diinginkan oleh bangsa penjajah sudah
berada dalam simpanan hamba. Dan pencarian hamba tidak akan terhenti di
sini. Ini adalah khazanah bangsa kita, dan wajib kita menjaga dan
menghargainya. Tujuan hamba hanya satu, hamba mahu buktikan kehebatan
bangsa kita satu ketika dahulu dan ia boleh dijadikan rujukan anak cucu
kita kelak.
Hamba mahu sedarkan bahawa kitalah bangsa yang
hebat dan mencipta pelbagai penemuan pada zaman dahulu. Tuan hamba,
marilah kita sedarkan bangsa kita. Janganlah kita berpecah belah,
bermusuhan sesama sendiri hanya kerana fahaman yang berbeza. Sepatutnya,
kehebatan nenek moyang kita dahulu mampu menyatukan bangsa Melayu agar
bangkit menjadi bangsa yang dihormati dan disanjung seantero
dunia.
Takkan Melayu Hilang Di Dunia!
Nota
: Zainal Al-Johan kini juga merupakan pensyarah Pengajian Melayu di
Kolej Komuniti Tangga Batu, Pantai Klebang, Melaka. Mereka yang berminat
dengan pengajian yang dijalankan beliau boleh menghubungi Kolej
Komuniti di talian 03-3152952
Tiada ulasan:
Catat Ulasan