Rabu, 7 Mei 2014

GST dan masyarakat

Baru-baru ini kita banyak baca berita, dengar khabar angin pasal GST.
Apa itu GST, saya tak nak cerita panjang di sini, tapi saya cuma nak kongsikan sikit maklumat yang mungkin boleh membuka minda kita.
Apakah kesah sebenar GST terhadap masyarakat khususnya para peniaga (kebanyakkannya dimonopoli oleh bangsa Cina).
Ini bukan posting pasal Rasis atau menghasut, tapi sebuah kesedaran yang perlu kita sebarkan.


Saya betul-betul terkilan, mengapa kebanyakkan Melayu menolak GST?
Apakah belum cukup info yang diberikan pihak kerajaan? ya, mungkin benar, tapi apa alasan mereka jika ditanya mengapa tidak sendiri mencari maklumat?
Atau, mereka tuli dan sengaja pekakkan telinga daripada sebarang bentuk informasi berkenaan GST?

SURAT TERBUKA KEPADA YAB DATO' SRINAJIB RAZAK

Saya mewakili orang Melayu yang telah mengundi UMNO ingin melahirkan rasa terkilan dan dukacita terhadap perkembangan yang berlaku di Tanah Air kami.

2. Kami faham betapa getirnya cabaran yang terpaksa diharungi oleh YAB untuk mengekalkan kestabilan dan keharmonian negara berbilang bangsa ini. Kami juga akur bahawa perlu ada "give and take" dan toleransi sesama kaum.

3. Pada tanggal 5 Mei yang lalu,genaplah setahun usia kerajaan BN diberi mandat sekali lagi untuk terus kekal memerintah. Buat pengetahuan YAB, sukacita diperingatkan bahawa mandat memerintah kali ini diberikan kepada BN oleh majoritinya orang Melayu.

4. Di sini juga ingin disuarakan bahawa orang Melayu yang mengundi UMNO tempoh hari, kebanyakannya bukanlah ahli UMNO. Saya juga tidak terkecuali, saya bukan ahli UMNO, tetapi mengundi BN.

5. Mutakhir ini, kami, orang Melayu berasa gusar ke manakah bahtera UMNO, satu-satunya kapal Melayu akan dikemudi? Kami begitu runsing kerana secara amnya, hak-hak Melayu sudah tidak lagi menjadi keutamaan UMNO mengikut kaca mata kami.

6. Orang-orang di sekeliling YAB sudah tentu sekali memberikan laporan 'khidmat cemerlang', dan kononnya YAB Dato' Sri sangat disayangi rakyat (mungkin mereka memberi contoh: betapa ramainya yang memakai baju "I Love PM" ). Tetapi hakikat yang sebenarnya tidaklah begitu memberangsangkan.

7. YAB lulusan pengajian luar negara, kami yakin Dato' Sri tergolong dalam golongan cerdik pandai dan mampu gunakan mata hati bagi menapis antara "pujian yang melalai dan merosakkan" dengan "kritikan yang membina dan ikhlas"

8. Sebgai golongan cerdik pandai, tentu sekali YAB dapat menilai betapa cepatnya jatuh pemimpin yang dipandang lemah dan tidak mampu menegakkan pendirian di hadapan rakyat.

9. Akhir-akhir ini, kami dapati begitu banyak isu sensitif melibatkan agama kami (Islam) dan bangsa kami (Melayu) acap kali dihina dan dimalukan oleh kaum lain. Contohnya, isu mengajak makan babi di bulan puasa. Ia isu yang sangat sensitif. Di manakah suara UMNO, dan apakah pula pendirian kabinet berkenaan isu tersebut?

10. Kami berikan mandat kepada BN atas dasar kepercayaan. Tidak berapa lama dahulu, ada Menteri kabinet yang mengisytiharkan adanya dalang tragedi Lahad Datu di kalangan pembangkang. Kami percayakan beliau. Sehingga kini, tiada pula tangkapan dalang tersebut dari kalangan pembangkang.

11. Pembangkang sewenang-wenangnya menghinjak maruah UMNO dengan propaganda dan fitnah mereka. Adakah YAB akan hanya berdiam diri seribu bahasa dan mengharapkan mereka akan berhenti menghina UMNO?

12. Jika YAB pilih untuk berdiam diri, itu hak Dato' Sri. Tetapi bagi kami orang Melayu, kami masih ada maruah, dan tidak sanggup dibangsatkan oleh anak-cucu kami

13. Marilah kita mengambil pengajaran daripada robohnya Kota Melaka pada tahun 1511. Untuk bina empayar , masa berpuluh tahun diambil. Untuk ianya musah, hanya sekelip mata.

14. YAB Dato' Sri mewarisi kerajaan yang baik. Bapa-bapa pengasas negara kita tentu sekali berasa bangga dan senang hati sekiranya Dato' Sri dapat meneruskan kesinambungan perjuangan survival bangsa Melayu

15. Kami, orang Melayu juga berharap agar slogan "Hidup Melayu" tidak hanya meniti di bibir hanya ketika mengemis sokongan Melayu semasa pilihanraya atau pemilihan UMNO sahaja. Ini negara Malaysia, hak Melayu mesti dipertahankan

16. Identiti bangsa MESTI diabadikan di dalam dokumen-dokumen rasmi kerajaan bagi memudahkan hak keistimewaan Melayu dan bumiputera diberikan kepada yang berhak

17. Untuk makluman YAB Dato' Sri, kepercayaan rata-rata rakyat, khususnya orang Melayu terhadap Dato' Sri kian pudar kerana kami dapati UMNO sudah bukan lagi parti Melayu, tetapi hanya lebih kepada ingin mengekalkan kuasa pemerintahan. Pandangan ikhlas kami, kedudukan UMNO umpama telur dihujung tanduk

18. Kami faham, YAB Dato' Sri mungkin menghadapi tekanan dari segala sudut oleh puak chauvinis dan extremis. Dari sudut yang lain, kami mahukan YAB Dato' Sri faham bahawa orang Melayu juga jika dihimpit dan ditindas sehingga ke satu sudut, akan turut bangkit memberikan tekanan kepada YAB. Maka, adalah lebih bijak seandainya Dato' Seri dapat melayan tuntutan majoriti daripada menimbulkan rasa kesangsian di kalangan rakyat majoriti Melayu

19. Pemberian BR1M walaupun adalah langkah yang patut dipuji, tetapi pada pandangan kami bukanlah tindakan yang baik. Agak ironi apabila kerajaan mengumumkan langkah penjimatan terhadap pelbagai agensi kerajaan, tetapi pada masa yang sama membelanjakan berbilion ringgit untuk duit 'one-off' setahun sekali. Bukankah lebih baik sekiranya duit sebanyak itu dilaburkan untuk prasarana dan infrastruktur kritikal seperti pendidikan dan kesihatan? Pemberian BR1M adalah umpama candu. Sekali dapat, selamanya rakyat akan ketagih, dan masalah bakal timbul sekiranya kerajaan sudah tidak lagi mampu menanggung kos BR1M yang kian meningkat saban tahun.

20. YAB Dato' Sri, kami berharap agar Dato' Sri dapat mengambil pandangan daripada bekas PM, Tun Dr Mahathir tentang bagaimanakah resipi mengemudi negara berbilang kaum dengan tegas. Di bawah pemerintahan Tun Mahathir, tiada puak chauvinis yang berani mendongak langit menuntut itu atau ini. Malah, mereka memberikan kerjasama yang baik bagi bersama-sama membangunkan negara.

21. Saya berharap agar Dato' Sri dapat meneliti kesemua isi kandungan surat terbuka ini dan menilai dengan sejujur-jujurnya dengan mata hati Dato' Sri dan tidak hanya mengharapkan 'makmal-makmal' dan PEMANDU untuk menjalankan tugas berfikir.

Akhir kata, saya mendoakan agar Dato' Sri sekeluarga dicucuri rahmat dan semoga Dato' Sri terbuka hati untuk menerima kritik dan saran oleh orang Melayu pula.

Yang ikhlas,

Seorang Melayu pengundi UMNO

*SL: Wahai pejuang UMNO, dimanakah letaknya maruah bangsa yang pernah Laksamana Hang Tuah didik dahulu? "takkkan Melayu hilang di dunia" maka perjuangkanlah. Bertindaklah sebelum bala tenteramu bertindak.

Ahad, 2 Mac 2014

Asal Usul Melayu

Bahawa asal usul bagi keturunan orang Melayu itu bermula daripada campuran bangsa dari pelbagai kelompok manusia lelaki dan perempuan yang berbagai-bagai bangsa yang bersuku-puak supaya mudah berkenalan di antara satu dengan yang lain yang dijadikan oleh Allah.

Firman Allah Ta’ala surah Al-Hujurat; ayat 13:

Mafhumnya:

“Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menjadikan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai-bagai bangsa dan bersuku-puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra, berhubung silaturahim antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih Taqwanya di antara kamu (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya) Sesungguhnya Allah amat mengetahui, lagi amat mendalam pengetahuannya (akan keadaan dan amalan kamu).”

Bangsa terdahulu, orang-orang Hijaz dan bangsa itu menerima Agama Islam dan kekalkan bangsa itu bangsa beragama, maka Agama Islam diletakkan pada diri bangsa-bangsa seumpama itu. Firman Allah Ta’ala surah Al-Hujurat; ayat 14:

Mafhumnya:

“Bangsa terdahulu, orang-orang Hijaz, berkata: Kami telah beriman; Katakanlah (wahai Muhammad): Kamu belum beriman, (jangan berkata demikian) tetapi sementara Iman belum lagi meresap masuk dalam hati kamu, berkatalah sahaja: Kami telah Islam (kami telah tunduk menyerah diri, tidak melawan dan tidak menentang) dan (ingatlah) jika kamu taat kepada Allah dan RasulNya (zahir dan batin), Allah tidak akan mengurangkan sedikit pun dari pahala amal kamu, kerana sesungguhnya Allah amat pengampun, lagi amat mengasihani.”

Maka mana-mana bangsa yang menjadikan huruf Jawi Qadim (Al-Quran) bahasa utama bagi loghat mereka itu iaitu Bahasa Arab, maka orang-orang itu sahaja yang disifatkan “Ahli Jawi Qadim”.

Ahli Jawi Qadim menamakan bangsa-bangsa Hijaz yang lain atau bangsa baru (A’jam) dan bangsa itu menerima Agama Islam, maka jadilah bangsa itu bangsa beragama. Agama Islam yang diletakkan pada diri bangsa-bangsa seumpama itu yang dimaksudkan “Ahli Jawi Jadid” yang disifatkan: Ahli Jawi Bangsa Kebangsaan Berpegang Teguh Agama Islam.

Bangsa Melayu adalah berasal dari campuran pelbagai bangsa atau kelompok keturunan manusia terdahulu seumpama: Monggol, Arab, Parsi, China, India dan lain-lain yang mendiami di Wilayah Atas Angin dan Bawah Angin di Negeri Kedah Tua. Peristiwa ini berlaku pada tahun 531 Hijrah (1136 Masihi) di Istana Bukit Meriam, Kota Kuala Muda kepada Raja Pertama di Alam Melayu meletakkan kepercayaan dan jaminan asas pendirian ilmu dan amalan hidup dan kehidupan berpegang teguh kepada Agama Islam melalui Talqin kepada seorang guru Mursyid wasilah teguh kepada tali Murabbi di Kurun akhir zaman.

Nama Baginda ditukar kepada Raja Muzaffar Shah, kemudian Baginda bersama Gurunya menyampaikan seruan kepada Pembesar Istana dan rakyat jelata meninggalkan dengan jazam yang putus segala kepercayaan asal keturunan nenek moyang mereka itu dan mengikut jejak langkah seumpama Baginda, kemudian mengislamkan secara massal bagi mereka itu menanggung beban Agama Islam yang terkandung dalam Kalimah Taqwa menjadi Asas Pendirian hidup dan kehidupan. Dengan yang demikian itu, maka terkumpullah satu kelompok manusia Agong pada awalnya disebut sebagai: Ahli Jawi Jadid.

Di atas kehendak Allah yang mengurniakan petunjuk kepada hambanya Sayyid Sheikh Abdullah Al-Qumairi Guru Mursyid Baginda Tuanku Raja Muzaffar Shah lalu diambil oleh Gurunya kalimah Arab مِـلاَيــُـو diberi nama kepada Ahli Jawi Jadid yang membawa maksud: “Kelompok keturunan Manusia Agong”, dan perkataan مِـلاَيــُو yang dibangsakan kepada Melayu dengan baris di Bawah (kasrah) huruf Mim atau baris di Atas (fathah) dan baris Depan (dhammah) huruf Ya’. Kalimah “Melayu” di mana mereka menyebut mengikut bacaan huruf Rumi “Melayu” maka nama Melayu itu hanya diguna pakai kepada bangsa keturunan ini sahaja setelah mereka menerima Agama Islam menjadi asas pendirian hidup dan kehidupan sehingga qiamat.

Maka kalimah “Melayu” ini jika ditujukan kepada individu dipanggil “Orang Melayu”, jika kepada kumpulan dipanggil “Bangsa Melayu”, jika kepada negeri dipanggil “Negeri Melayu”, jika kepada Raja dipanggil “Raja Melayu”, jika kepada negara dipanggil “Persekutuan Tanah Melayu”, jika kepada semenanjung dipanggil “Semenanjung Tanah Melayu”, jika kepada gugusan dipanggil “Gugusan Selat Kepulauan Melayu” dan jika kepada dunia dipanggil “Alam Melayu” sehingga terbentuk di dunia sebuah empayar Alam Melayu yang kuat dan kukuh berkuasa lebih daripada 500 tahun.

Bangsa Melayu menjadikan huruf Jawi Arab yang ditambah titik pada huruf-huruf tertentu dan kekalkan bahasanya sebagai bahasa utama bagi mereka itu ialah Bahasa Melayu, adalah satu bahasa yang paling ringan dan mudah daripada bahasa-bahasa penduduk-penduduk Wilayah Jawi Qadim, maka dengan sebab itu kebanyakan orang-orang Hijaz dan Arab dahulu menggunakan bahasa Melayu Bahasa Kedua dalam pergaulan antarabangsa.
PAKSI MALAYSIA
SEJIWA SEKATA SEHALA...//"

Hidup Melayu!



SL: Tulisan asal daripada sebuah penulisan yang Admin suka baca. even gaya bahasa agak memeningkan,tapi terselit sebuah kisah yang kita tak pernah tahu. hehe

Khamis, 13 Februari 2014

PERJUANGAN SEMAKIN HILANG

Saya terfikir kenapa agaknya kerajaan BN zaman dahulu begitu prihatin terhadap rakyatnya sehingga   cerita-cerita lagenda wujud akibat bagaimana susahnya pemimpin lama ingin membangunkan negara sambil membasmi kemiskinan. Cerita seperti Tun Razak berjalan ke pedalaman untuk membangunkan kawasan luar bandar, atau bagaimana Dr Mahathir semasa menjadi doktor berjalan jauh ke kawasan kampung untuk menjumpai pesakit tanpa meminta bayaran. Tetapi hakikatnya, pemimpin sekarang sudah hilang perjuangan demi agama, bangsa dan tanah air (Alif Ba Ta), kalau dahulu nama wakil rakyat begitu indah kerana mereka ini pemimpin sebuah kawasan yang sentiasa boleh dipercayai ketika rakyat menghadapi kesusahan, sekarang masyarakat pandang rendah terhadap pemimpin politik oleh sebab-sebab tertentu.

Satu perbezaan antara pemimpin politik dahulu dengan sekarang ialah kehidupan zaman membesar. Tun Dr Mahathir ceritakan bahawa dahulu ironinya di Alor Setar, Kedah, walaupun kawasan itu majoriti Melayu, tetapi semua kedai di kawasan bandar dimiliki oleh bukan Melayu. Ini punca kedua-dua Tun berusaha untuk melihat saudara seagama dan sebangsa maju dari segi ekonomi, dan sebab Tun Dr Mahathir menyertai arena politik, walaupun Tun Dr Mahathir sudah berumur, jangan harap beliau akan membiarkan ekonomi Melayu hancur binasa dan kembali kepada zaman remaja beliau.

Sekarang Alhamdulillah, dengan usaha pemimpin lama, sudah banyak kedai dan kilang milik bumiputera, walaupun tidak sebanyak milik bukan bumiputera tetapi ia tidak seteruk zaman sebelum merdeka. Disebabkan kuota universiti dan MARA juga, ramai bumiputera meneruskan pendidikan hingga ijazah atau lebih tinggi, dan mendapat pekerjaan berpendapatan sederhana dan tinggi. Sistem pendidikan ini sungguh berjaya sehingga apabila membuat kajian terhadap latar belakang ketua-ketua pembangkang, majoritinya adalah produk sistem ini dan tanpa pertolongan ini, mereka tidak akan mendapat pendidikan tinggi. Jadi hidup seorang Melayu atau rakyat Malaysia sudah mudah, tidak terlalu sukar seperti bapa atau datuk mereka, jadi semangat perjuangan sudah berkurangan.

UMNO perlu kembali ke pangkal jalan, sebenarnya ada ramai pemimpin UMNO yang berjiwa rakyat cuma mereka kurang mendapat sokongan untuk diberi jawatan yang lebih tinggi. Ramai ahli UMNO biasa, mereka mempunyai latar belakang pendidikan yang tinggi dan mempunyai banyak idea untuk membangunkan negara sambil membasmi kemiskinan, tetapi entah kenapa suara-suara mereka tidak didengari oleh pucuk pimpinan. Ada sebab Tun Razak membawa masuk balik Dr Mahathir ke dalam UMNO, kerana Tun Razak tahu dia tidak akan hidup lama dan UMNO perlukan pemimpin muda yang penuh dengan idea baru untuk meneruskan perjuangan, disebabkan itu ekonomi Malaysia membangun dari US25billion pada 1981 kepada US110billion pada 2003. Pemimpin UMNO sekarang perlu ikut jejak langkah Tun Razak, cari pemuda yang mempunyai potensi dan berikan dia sokongan untuk naik, pemimpin yang tua dan sudah tidak boleh beri idea kepada perjuangan lebih baik bersara. Proses ini akan tingkatkan momentum perjuangan seperti zaman dahulu.




SL: Sekadar luahan seorang penyokong setia UMNO.

HANG TUAH BUKAN CINA


Sebut sahaja mengenai Hang Tuah, ramai puak Chauvinist dan Kiasu akan mula berdendang bahawa pahlawan Melayu ini merupakan bangsa cina. Mereka mempunyai hujah mereka untuk mengatakan bahawa Hang Tuah adalah daripada bangsa cina. Justeru artikel ini akan berbentuk Q&A, iaitu setiap soalan akan direka berdasarkan hujah-hujah mereka 

Soalan: Hang bukan nama biasa yang digunakan oleh orang Melayu. Hanya Hang Tuah lima bersaudara dalam sejarah yang bernama Hang. Nama bangsa Melayu tidak mempunyai nama keluarga. Kalau nama ayah akan dibinkan. Jadi tak logik kalau Hang Tuah, dan terdapat orang lain yang turut berkongsi nama Hang. 

Jadi, nama Hang yang sebenarnya ialah Hang Too Ah. Nama Hang Jebat ialah Hang Jew Fat. Nama Hang Lekir ialah Hang Liew Kier. Nama Lekiu ialah Hang Lee Kiew. Jadi, Hang itu ialah nama keluarga cina. 

Jawapan HE: Hei, saya tahu anda yang cuna menulis sejarah Melayu ni tentu tak pernah bergaul dengan orang Melayu? Pandai-pandai jer buat kesimpulan macam tu. Pernah berkawan dengan orang Melayu tak? Kalau tak, meh sini saya ajar anda apa itu budaya Melayu. 

Di sesetengah negeri terdapat orang Melayu yang berkongsi nama depan yang sama. Di Kelantan, nama seperti Nik dan Wan selalu digunakan. Nama seperti Daeng pula terkenal di kalangan masyarakat Melayu Bugis. Nama seperti Radeng ialah nama yang selalu digunakan oleh masyarakat jawa. Meor pula nama yang terkenal di kalangan masyarakat Melayu Perak. Masyakat Melayu-Arab pula terkenal dengan nama Syed dan Syarifah di hadapan pangkal nama mereka. 

Dan sekali lagi saya tekankan, jangan bercakap mengenai soal Melayu kalau anda tidak pernah bergaul dengan kami. Terdapat banyak lagi Melayu di zaman Melaka yang turut menggunakan nama pangkal Hang. Hang Ali, Hang Iskandar, Hang Nadim, Hang Hasan, dan Hang Hussin? Untuk pengetahuan saudara juga, nama Hang ini juga merupakan gelaran yang diberikan oleh Istana Melaka pada waktu itu, seperti mana istilah Dato’ pada hari ini. 

Soalan: Tiada rekod mengenai kewujudan Hang Tuah dalam sejarah Melayu sebelum kedatangan Hang Li Po. Jadi jelaslah bahawa Hang Tuah itu di bawa oleh Hang Li Po. 

Jawapan HE:
Benarkah sedemikian? Pernah baca Sulalatus Salihin dengan Hikayat Hang Tuah? Pernah dengar kisah Hang Tuah menyelamatkan Bendahara daripada orang mengamuk? Pernah dengar kisah Hang Tuah dan para sahabatnya membunuh lanun? Buka balik buku sejarah. 

Kalau dirujuk sumber sejarah utama, iaitu Hikayat Hang Tuah yang banyak menceritakan mengenai Hang Tuah. Kisah bagaimana Hang Tuah dan para sahabatnya. Ketika kanak-kanak dahulu, Hang Tuah dan para sahabat telah ke laut menggunakan perahu lading. Berlaku adegan kejar mengejar antara Hang Tuah dan lanun yang mengejar perahu Hang Tuah. Sampai sahaja di darat, maka Hang Tuah telah bertikam dengan sang lanun dan pertempuran itu telah membuatkan Hang Tuah menang. 

Antara bukti lain ialah kisah Hang Tuah menewaskan orang mengamuk masih terkemas dalam rekod sejarah. Kisah bagaimana Hang Tuah menyelamatkan Bendahara Tun Perak dan bagaimana Hang Tuah menghadap Sultan Melaka. Kisah Hang Tuah menewaskan lanun-lanun ketika mengembara pada usia muda dan kecil selepas mendapat perkenan juga merupakan bukti bahawa Hang Tuah sudah wujud lama sebelum kedatangan Hang Li Po. 

Soalan: Tapi… ada orang cakap yang nama Tuah, Jebat, Kasturi, Lekiu, dan Lekir itu dicinakan. Tiada makna dalam bahasa Melayu. Betul ke? 

Jawapan HE: Nama tuah bermaksud bernasib baik. Masakan ada yang bodoh percaya bahawa nama Tuah itu dimelayukan daripada Too Ah? Nama Jebat dalam bahasa Melayu bermaksud bau badan. Pernah dengar tak ungkapan “baunya seperti jebat musang”. Masakan ada yang mengatakan bahawa nama Jebat itu daripada Jee Fat? Kasturi pula ialah nama haruman. Semua orang tahu tu. Lekir pula datang daripada nama ubi. Lekiu pula datang daripada bahasa Melayu lama yang bermaksud lekit. 

Soalan: Tapi macam mana Puteri Hang Li Po boleh ada nama Hang? 

Jawapan HE: Senang sahaja jawapan saya. Hang ialah gelaran yang diberikan oleh Sultan Melaka. Pada asalnya nama Hang Li Po ialah nama puteri itu. Hang ialah gelaran yang diberikan oleh Sultan Mansur Shah. 

Soalan: Ya, Hang Tuah bukan cina. Tapi, apa bukti Hang Tuah itu wujud? 

Jawapan HE: Nama Hang Tuah disebut dalam naskah yang menjadi sumber utama Sejarah Melayu iaitu Sulalatus Salatin. Sebanyak 7 Bab diletakkan di dalam kitab sejarah Melayu ini. Kalau Hang Tuah ialah lagenda, kenapa sampai 7 Bab diperuntukkan untuk menceritakan mengenai Hang Tuah? 

Juga Hikayat Hang Tuah turut menjadi sumber utama. Bagaimana kalian menolak Hikayat Hang Tuah walhal UNESCO sendiri mengiktiraf naskah sejarah ini sampai menjadikan salah satu daripada Warisan Dunia pada hari ini. 

Jika anda menolak kewujudan Hang Tuah, sama juga seperti anda menolak kewujudan Melaka kerana sumber yang menceritakan mengenai Hang Tuah ialah Sulalaltus Salatin. Kalaulah watak Hang Tuah itu tidak wujud, masakan teks sejarah Melayu utama menyebut nama Hang Tuah lebih 170 kali. 

Seterusnya, pernah dengar kisah Keris Taming Sari? Keris ini ialah keris yang dirampas oleh Hang Tuah ketika bertikam dengan pendekar daripada Majapahit. Katakanlah Hang Tuah tak wujud, masakan keris ini boleh berada dan menjadi salah satu daripada warisan Keslutanan Perak? Oh ya, Kesultanan Perak ialah salah satu daripada waris Kesultanan Melaka dulu. 


SL: ini salah satu post terbaik dari page yang aku selalu bukak. nice Admin!

"MELAYU"

Melayu itu orang yang bijaksana
Nakalnya bersulam jenaka
Budi bahasanya tidak terkira
Kurang ajarnya tetap santun
Jika menipu pun masih bersopan
Bila mengampu bijak beralas tangan.

Melayu itu berani jika bersalah
Kecut takut kerana benar,
Janji simpan di perut
Selalu pecah di mulut,
Biar mati adat
Jangan mati anak.

Melayu di tanah Semenanjung luas maknanya:
Jawa itu Melayu, Bugis itu Melayu
Banjar juga disebut Melayu,
Minangkabau memang Melayu,
Keturunan Acheh adalah Melayu,
Jakun dan Sakai asli Melayu,
Arab dan Pakistani, semua Melayu
Mamak dan Malbari serap ke Melayu
Malah mua'alaf bertakrif Melayu
(Setelah disunat anunya itu)

Dalam sejarahnya
Melayu itu pengembara lautan
Melorongkan jalur sejarah zaman
Begitu luas daerah sempadan
Sayangnya kini segala kehilangan

Melayu itu kaya falsafahnya
Kias kata bidal pusaka
Akar budi bersulamkan daya
Gedung akal laut bicara

Malangnya Melayu itu kuat bersorak
Terlalu ghairah pesta temasya
Sedangkan kampung telah tergadai
Sawah sejalur tinggal sejengkal
tanah sebidang mudah terjual

Meski telah memiliki telaga
Tangan masih memegang tali
Sedang orang mencapai timba.
Berbuahlah pisang tiga kali
Melayu itu masih bermimpi

Walaupun sudah mengenal universiti
Masih berdagang di rumah sendiri.
Berkelahi cara Melayu
Menikam dengan pantun
Menyanggah dengan senyum
Marahnya dengan diam
Merendah bukan menyembah
Meninggi bukan melonjak.

Watak Melayu menolak permusuhan
Setia dan sabar tiada sempadan
Tapi jika marah tak nampak telinga
Musuh dicari ke lubang cacing
Tak dapat tanduk telinga dijinjing
Maruah dan agama dihina jangan
Hebat amuknya tak kenal lawan

Berdamai cara Melayu indah sekali
Silaturrahim hati yang murni
Maaf diungkap senantiasa bersahut
Tangan diulur sentiasa bersambut
Luka pun tidak lagi berparut

Baiknya hati Melayu itu tak terbandingkan
Segala yang ada sanggup diberikan
Sehingga tercipta sebuah kiasan:
"Dagang lalu nasi ditanakkan
Suami pulang lapar tak makan
Kera di hutan disusu-susukan
Anak di pangkuan mati kebuluran"

Bagaimanakah Melayu abad dua puluh satu
Masihkan tunduk tersipu-sipu?
Jangan takut melanggar pantang
Jika pantang menghalang kemajuan;
Jangan segan menentang larangan
Jika yakin kepada kebenaran;
Jangan malu mengucapkan keyakinan
Jika percaya kepada keadilan.

Jadilah bangsa yang bijaksana
Memegang tali memegang timba
Memiliki ekonomi mencipta budaya
Menjadi tuan di negara Merdeka



*Nukilan Dato' Usman Awang (1929-2001)

Catatan Zainal Al-Johan: Bangsa Melayu Teragung

(Petikan sebahagian laporan oleh wartawan Desi Ernita Dahnin yang telah disiarkan di dalam Mastika edisi November 2011)

Hamba ini berbangsa Melayu. Bangsa yang satu ketika dulu adalah bangsa yang jauh peradabannya ke hadapan, meninggalkan bangsa-bangsa lain di seluruh dunia. Bangsa Melayu kaya dengan kepakaran dan teknologi.Tunggu! Jangan mencebik, jangan mencemuh! Tuan hamba sekalian mungkin tidak tahu. Benar, generasi kita hari ini tidak tahu akan fakta kehebatan bangsa Melayu zaman dahulu. Dek kerana segala fakta itu telah dimusnahkan oleh sang penjajah keparat. Penjajah tidak mahu bangsa Melayu menjadi bangsa berkuasa di dunia. Mereka tidak mahu generasi Melayu akan datang tahu kehebatan nenek moyang mereka dahulu kala. Inilah muslihat penjajah keparat!

Meriam Terbesar Melayu Dilarikan ke India

Bangsa kita dimomokkan bahawa Melayu dahulu kala hanya berperang dengan keris dan lembing sahaja. Tidak! Tahukah tuan hamba sekalian, bangsa kita telah mencipta meriam, sudah lama sebelum kedatangan para penjajah lagi.Ya, ketika itu, terdapat sebuah meriam terbesar di dunia yang dicipta oleh Bangsa Melayu. Meriam tersebut diletakkan di dalam mahligai istana Sultan Melaka. Dan apabila Melaka ditakluk, meriam itu telah dirampas oleh penjajah lalu di bawa berlayar ke Goa, India. Untuk pengetahuan tuan hamba, meriam itu masih ada sehingga kini di Goa. Namun, untuk membawa artifak bukti keagungan tamadun Melayu itu bukan mudah. Bahkan kosnya mencecah berbilion ringgit. Lihat betapa licik dan jahatnya sang penjajah! 


Melayu Pelayar Terulung

Bangsa Melayu sudah boleh menghasilkan jam yang digunakan oleh Panglima Awang dalam pelayarannya sewaktu mengelilingi dunia. Dua abad lebih awal sebelum bangsa Eropah mampu mencipta jam. Bangsa Melayu juga boleh belayar di lautan tanpa menggunakan kuasa enjin dan layar, malah tidak pernah sesat dari arah tujuannya. Dan kepakaran belayar ini telah wujud lebih lama sebelum Bangsa Eropah mampu menggerakkan bangsa mereka untuk belayar mengelilingi dunia. Tahukah juga tuan hamba, Panglima Awang yang berbangsa Melayu itu sebenarnya adalah orang pertama mengelilingi dunia dan hasil pelayarannya itu, dialah yang mengesahkan bahawa bumi ini bulat, bukannya mendatar seperti didakwa bangsa Eropah sebelum itu. Panglima Awang tidak pernah tersesat dalam pelayarannya, sedangkan Captain Columbus berbulan-bulan tersasar dalam pencariannya mencari tanah datar Amerika. Begitulah hebatnya bangsa kita!

Teknologi Mistik Melayu

Sewaktu zaman kegemilangan empayar Melayu Melaka, bangsa Melayu sedang dalam eksperimen untuk membina tentera bukan dari kalangan manusia, tetapi daripada haiwan yang boleh diseru, disuruh dan dipandu arah. Takjub bukan?
Tetapi sayang, belum sempat teknologi tentera haiwan itu dikembangkan, ia telah ‘dilarikan’ oleh penjajah setelah mereka berjaya menakluk Tanah Melayu. Lalu teknik itu mereka kaji dan mereka guna pakai untuk kepentingan bangsa mereka. Melalui teknologi seru itulah pihak Portugal melepaskan seekor ketam untuk membawa naik salib yang dicampakkan ke laut oleh seorang Paderi sebelum memijak bumi Melaka. Hamba bukan sengaja mereka-reka cerita ini, malah cengkerang ketam itu masih berada di Lisbon, Portugal sebagai bukti!

Khazanah Melayu Dihapuskan

Dek kerana hebatnya ilmu pengetahuan bangsa Melayu inilah, penjajah sentiasa mahu menawan tanah bertuah ini. Beribu-ribu dokumen, buku, persuratan dan khazanah bangsa kita telah dirampas oleh mereka. Salah satu darinya seperti usaha Raffles yang membawa ribuan catatan dan buku Melayu di dalam kapal The Fame yang akhirnya terbakar di tengah lautan. Kita dijajah bukannya kerana rempah ratus seperti yang tercatat dalam sejarah yang digubah sesuka hati oleh sang penjajah. Kita dijajah kerana kehebatan tamadun bangsa Melayu. Inilah sejarah yang tidak diketahui oleh anak Melayu sendiri. Hamba bangga menjadi anak Melayu. Bukan hanya kerana pengetahuan dan fakta yang hamba ada dan selidiki. Kata-kata hamba bukan omongan kosong. Jika tidak, hamba tidak akan bersusah payah mengumpul pelbagai artifak keagungan bangsa kita satu ketika dulu!

Pakaian Melambangkan Bangsa

Kata mereka, pakaian hamba sudah ketinggalan zaman, tidak relevan. Jika begitu, tidak relevanlah bangsa Arab yang berjubah dan berserban? Tidak relevankah bangsa Ghana dengan baju tradisi ala selimutnya? Tidak relevankah bangsa India dengan sarinya? Apa yang hamba pakai ini adalah salah satu simbolik bangsa Melayu. Jika kita berjumpa di Melaka 500 tahun yang lampau, inilah pakaiannya. Namun, hamba sesuaikan dengan zaman sekarang. Hamba tempah khas baju ini agar diperbuat daripada kain kapas yang lebih selesa dipakai. Yang penting, identiti pakaian ini yang harus dikekalkan kerana inilah identiti bangsa kita. 


Hamba Lebih Afdal Dari Sahaya

Ada yang bertanya, mengapa gunakan perkataan ‘hamba’ dan ‘tuan hamba’ dalam perbualan harian? Mengapa berasa pelik sedangkan itulah pertuturan bangsa kita sejak dulu kala. Malah, ada yang berkata, teruk benar gunakan perkataan hamba kerana ia hanya sesuai antara manusia dengan tuhan. Tetapi mereka lupa, bila kita menyebut diri kita sebagai hamba, secara tidak langsung ia sentiasa mengingatkan bahawa kita ini adalah hamba Allah. Itukan lebih baik? Mereka lupa penggunaan perkataan ‘saya’ itu bermula dari ‘sahaya’ yang bermaksud hamba sahaya yang tidak boleh ditebus, secara tidak langsung menjatuhkan diri kita serendah-rendahnya. Bermakna secara tidak langsung kita berdoa menjadi seperti itu. Akhirnya, seperti yang tuan hamba lihat hari ini, bangsa kita menjadi bangsa yang hina sekarang. Bahasa tu menunjukkan bangsa. Pada firasat hamba, perkataan hamba lebih afdal dari saya (sahaya).

Hargailah Khazanah Melayu

Apa yang hamba sampaikan mungkin susah diterima akal, tetapi buktinya ada. Jika tidak percaya, datanglah bertemu hamba. Teratak hamba di Rembau ada menyimpan lebih 200 artifak dan khazanah bangsa kita. Bukan mudah untuk hamba kumpulkan segala artifak bangsa Melayu ini. Ia memerlukan kos jutaan ringgit dan tenaga pakar saintifik dan spiritual.

Kebanyakan artifak ini gagal dikesan oleh pencari gali dari Barat walaupun menggunakan teknologi moden. Ini kerana harta-harta ini telah disimpan di alam mistik oleh orang-orang terdahulu. Contohnya, 50 tahun lalu, pihak Inggeris ada menghantar ahli arkelogi mereka bagi mengesan Keris Penyalang, iaitu sebilah keris yang digunakan pada zaman Kesultanan Melayu Melaka bagi menghukum pembesar istana yang bersalah.

Pembesar itu akan ‘disalang’ menggunakan keris tersebut. Caranya, pesalah akan melutut lalu keris penyalang akan ditusukkan dari engkuk menembusi paru-paru, jantung hinga ke perut. Hebatnya keris penyalang, hanya setitis darah akan keluar melalui satu lubang di hulu keris, menandakan si pesalah sudah mati. Keris inilah yang cuba dicari ahli cari gali Inggeris itu tetapi setelah berbulan-bulan mencuba, mereka pulang dengan hampa. Mengapa? Ini kerana keris itu disimpan pewarisnya di alam mistik dan semoden manapun orang Barat, mereka tidak dapat menandingi kemahiran bangsa Melayu ‘menyelam’ ke dunia mistik. Dan kini, Keris Penyalang itu sudah ada dalam simpanan hamba!

Akhir kata

Banyak artifak lain yang amat diinginkan oleh bangsa penjajah sudah berada dalam simpanan hamba. Dan pencarian hamba tidak akan terhenti di sini. Ini adalah khazanah bangsa kita, dan wajib kita menjaga dan menghargainya. Tujuan hamba hanya satu, hamba mahu buktikan kehebatan bangsa kita satu ketika dahulu dan ia boleh dijadikan rujukan anak cucu kita kelak.

Hamba mahu sedarkan bahawa kitalah bangsa yang hebat dan mencipta pelbagai penemuan pada zaman dahulu. Tuan hamba, marilah kita sedarkan bangsa kita. Janganlah kita berpecah belah, bermusuhan sesama sendiri hanya kerana fahaman yang berbeza. Sepatutnya, kehebatan nenek moyang kita dahulu mampu menyatukan bangsa Melayu agar bangkit menjadi bangsa yang dihormati dan disanjung seantero dunia. 


Takkan Melayu Hilang Di Dunia!





Nota : Zainal Al-Johan kini juga merupakan pensyarah Pengajian Melayu di Kolej Komuniti Tangga Batu, Pantai Klebang, Melaka. Mereka yang berminat dengan pengajian yang dijalankan beliau boleh menghubungi Kolej Komuniti di talian 03-3152952